Sebenarnya sejak dulu lagi kerajaan telah menggalakkan ibu-ibu di Malaysia untuk memberi susu ibu kepada anak. Tak percaya? Baca artikel dibawah, dipetik dari http://hids.arkib.gov.my/doc/2000/jun/03_06_1979_2000.htm
Pada 3.6.1979 Seminar Penyusuan Antarabangsa Pertama yang diadakan di Kuala Lumpur telah membuat gesaan kepada pengiklan-pengiklan dan sebaran am supaya bekerjasama menggalakkan penyusuan susu ibu.
Susu ibu boleh menjamin kesihatan bayi di samping memberi manfaat kepada ibu kerana proses penyusuan dapat mengecutkan rahim dan mengurangkan kehilangan darah selepas bersalin. Lemak-lemak yang terkumpul semasa mengandung turut digunakan dalam proses penyusuan, dan ini bermakna bentuk badan ibu kembali saperti sebelumnya.
Di samping itu menyusukan bayi dengan susu badan adalah satu tugas murni kerana kesihatan anak adalah hadiah istimewa kepada setiap ibu.
Datin Dr. Siti Hasmah, isteri Timbalan Perdana Menteri yang merasmikan majlis seminar ini telah menggesa para pengiklan dan sebaran am supaya bekerjasama menggalakkan penyusuan ibu dan tidak lagi mengiklan bayi-bayi montel tersenyum lebar untuk menggalakkan penyusuan susu tiruan. Iklan susu tiruan yang selalunya memaparkan kejayaan anak-anak hendaklah dipendekkan masanya manakala kenyataan mengenai penyusuan ibu mestilah dipanjangkan masanya.
Adalah merugikan sekiranya ibu-ibu mudah terdaya dengan iklan-iklan susu tiruan. Tambahan pula mereka yang kurang bernasib baik terpaksa membuat pengorbanan besar untuk membeli susu tiruan kerana beranggapan bahawa khasiat yang dijanjikan benar-benar membawa kebaikan kepada kanak-kanak.
Sesungguhnya setiap bayi baru lahir dibekalkan oleh penciptanya dengan makanan khas yang tidak ada tolok bandingnya dan bekalan istimewa iaitu susu ibu.
0 comments:
Post a Comment